Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu hasil ilham oleh Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu adalah bertujuan untuk membantu mangsa banjir yang melanda seluruh Malaysia amnya dan Pantai Timur khususnya telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
Tidak ketinggalan Kelab Radio Amatur Komunikasi Bencana Terengganu – Squad 99 telah menyahut seruan tersebut dan menghantar seramai 22 orang anggota untuk turut serta dalam misi tersebut.
Seramai 13 anggota Squad 99 telah menyertai misi kemanusiaan di Hulu Dungun dan seramai 12 anggota telah dihantar ke Machang dan Dabong, Kelantan. Selain menyediakan perkhidmatan komunikasi semasa kerja-kerja pembersihan di Hulu Dungun dan Kelantan.
Squad 99 juga telah diamanahkan untuk mengendalikan komunikasi radio semasa konvoi kenderaan sepanjang 20 kilometer dengan baik. Squad 99 telah membuktikan bahawa mengendalikan konvoi yang begitu panjang dapat diseliakan dengan sempurna apabila sistem komunikasi dapat dilaksanakan dengan baik.
Menurut Haji Amrun Mamat, Presiden Squad 99, peranan yang dimainkan oleh radio amatur semasa konvoi tidak sama seperti peranan yang dilakukan oleh marshall sebelum ini, peranan radio amatur adalah menyelaraskan komunikasi antara kereta pertama dengan kereta akhir.
“Kami telah memasang peralatan rig mobile dalam dua buah kenderaan polis yang menjadi kereta pertama dan kereta terakhir semasa konvoi.”
“Kami juga telah menempatkan pengulang bergerak di tengah-tengah konvoi dan sebuah lagi kenderaan berperanan sebagai pusat komunikasi bergerak, katanya lagi.
Selain itu, Squad 99 juga membekalkan peralatan radio amatur kepada pihak pengurusan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu termasuk kepada Dato’ Haji Rozi bin Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganuyang merupakan ketua kontigen Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu.
Squad 99 juga diamanahkan untuk mengendalikan komunikasi radio semasa konvoi Menteri Besar Terengganu dan Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menziarahi mangsa banjir di Kemubu, Kelantan.
Squad 99 telah membangunkan Pusat Komunikasi Bergerak di Sekolah Kebangsaan Dabong yang ditempatkan dalam sebuah kenderaan.
Pusat komunikasi bergerak kami telah dikunjungi oleh Menteri Besar Terengganu. Semasa kunjungan beliau ke pusat komunikasi bergerak, Ahmad Razif sempat sempat mengucapkan terima kasih kepada anggota Squad 99 yang turut serta menjayakan misi kemanusiaan anjuran kerajaan negeri Terengganu dan beliau juga meminta agar Squad 99 sentiasa menyertai dalam semua program kerajaan negeri.
Selain itu pusat komunikasi bergerak Squad 99 turut dikunjungi oleh Dato’ Haji Mohd Zubir bin Embong, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu dan kesemua Exco Kerajaan Negeri yang hadir dalam mis itersebut seperti Dato’ Haji Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Haji Muhammad Pehimi bin Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Terengganu, Ghazali bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri Terengganu dan juga Tuan Haji Samiun bin Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan).
Alhamdulillah, di atas usaha keras yang ditunjukkan oleh setiap anggota Squad 99 telah sedikit sebanyak menaikkan mana dan memperkenalkan Squad 99 dan peranannya kepada kerajaan negeri.
Segala usaha yang dilakukan oleh Squad 99 tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan sumbangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang telah meminjamkan peralatan kepada kami.












