Buat julung kalinya, Kelab Radio Amatur Komunikasi Bencana – Squad 99 menerima jemputan untuk menyertai Jamboree On The Air (JOTA) dan Jamboree On The Internet (JOTI) anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Program yang berlangsung di Kampus Gong Badak itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih 1,000 sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri.

Bagi menjayakan penyertaan mereka, Squad 99 telah memohon dan memperoleh callsign khas 9M4SJU daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Callsign ini digunakan sepanjang program bagi memastikan komunikasi berjalan lancar antara peserta dan memberikan peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman komunikasi radio sebenar dalam suasana jamboree antarabangsa.

Pameran Radio Amatur oleh Squad 99 turut menarik perhatian ramai. Menurut Haji Amrun Mamat, Pengerusi Squad 99, pameran ini bukan sekadar memperkenalkan peralatan radio amatur dan demonstrasi penggunaannya, tetapi juga memberi penekanan tentang bagaimana teknologi moden berkembang daripada konsep asas dalam radio amatur.

“Kami ingin menunjukkan kepada para pelajar bahawa radio amatur bukan sekadar hobi tetapi mempunyai nilai pendidikan yang tinggi.

Ia boleh dikaitkan dengan elemen-elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) yang membantu mereka memahami teknologi dalam kehidupan harian dan memberi inspirasi kepada pembelajaran mereka,” jelas Haji Amrun.

Program ini menjadi platform yang baik untuk Squad 99 dan pengakap dari seluruh negara berinteraksi serta bertukar pengalaman.

Ia juga memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat bagaimana komunikasi radio berfungsi dalam situasi bencana dan kepentingannya dalam menyelamatkan nyawa.

Dengan sambutan dan penyertaan yang memberangsangkan, JOTA-JOTI di UniSZA telah membuktikan bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja membangunkan kemahiran komunikasi tetapi juga memupuk kerjasama dan perpaduan di kalangan peserta muda.

Squad 99 berharap untuk terus menyertai program seperti ini pada masa akan datang dan meneruskan usaha mendidik masyarakat mengenai radio amatur serta kepentingan komunikasi bencana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/mediaisl/public_html/squad99.org/my/wp-includes/functions.php on line 5581