Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan telah mengadakan satu mesyuarat bersama NGO di Ballroom 1, Hotel Marriot Putrajaya. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh encik Hussain bin Moh, Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti & Sosial NADMA Malaysia
Mesyuarat mengambil maklum akan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa Pihak Indonesia memaklumkan bantuan segera yang diperlukan adalah seperti berikut;
i. Pengangkutan udara
ii. Khemah keluarga
iii. Water purification sets
iv. Field hospital
v. Peralatan dan pengurusan kawalan penyakit
vi. Generator set
2. Kerajaan Malaysia akan mengadakan beberapa penerbangan ihsan membawa bantuan barang-barang tersebut, penerbangan pertama dijangka dilaksanakan dalam minggu ini yang akan membawa pasukan SAR Malaysia dan peralatan-peralatan lain. Pihak NADMA walau bagaimanapun masih menunggu kebenaran Kerajaan Indonesia.
3. Keperluan mendesak fasa pertama adalah seperti senarai keutamaan indonesia. Justeru mana-mana NGO yang mempunyai keperluan ini dan berhasrat untuk menghantar barang-barang tersebut boleh mengemukakan senarai barangan yang ingin dihantar. Senarai tersebut akan dipertimbangkan oleh NADMA sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Kerajaan Indonesia. Pihak NADMA akan memaklumkan tarikh penghantaran jika diluluskan. Urusan penghantaran barang ke pusat pengumpulan adalah di bawah tanggungjawab pihak yang menyumbang.
4. Bahawa pihak yang ingin menghantar sukarelawan perlulah bersabit dengan senarai keperluan Indonesia dan para 3. NGO perlu kemukakan senarai nama kepada NADMA berserta kepakaran dan tugasan masing-masing. NADMA hanya akan pertimbangkan untuk menghantar sukarelawan yang berkepakaran untuk fasa keutamaan sahaja. Penghantaran oleh NADMA adalah berdasarkan airport to airport. Urusan dokumentasi dan pergerakan selanjutnya perlu diuruskan oleh pihak NGO itu sendiri.
Pihak NGO juga boleh menyenaraikan kepakaran dan sumbangan lain selain dari senarai keutamaan Indonesia. Namun keputusan dan sesi penghantaran akan tertakluk kepada kelulusan indonesia bagi fasa-fasa yang akan datang sekiranya masih ada keperluan penyaluran bantuan G-G (kerajaan kepada kerajaan).
5. NADMA tidak menghalang NGO yang ingin memasuki kawasan bencana atas kapasiti sendiri. Namun NADMA menasihatkan agar sukarelawan yang ingin ke kawasan bencana agar sentiasa berhati-hati memandangkan situasi di kawasan terjejas bencana terutama di Bandar Palu dan Donggala adalah buruk dan dilaporkan gegaran-gegaran susulan masih berlaku. Keperluan asas seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan sebagainya sangat mendesak. Selain itu, terdapat laporan berlakunya kejadian-kejadian jenayah seperti rompakan yang boleh membahayakan keselamatan sukarelawan.
6. NADMA menasihatkan NGO yang telah dan akan ke kawasan bencana di atas inisiatif sendiri agar menyalin satu salinan senarai nama sukarelawan berserta nombor kad pengenalan, nombor passport dan nombor perhubungan kepada NADMA untuk makluman dan rekod NADMA serta Kementerian Luar Negeri (KLN).
7. Pihak Mercy Malaysia bercadang menghantar Field Hospital Type 2 berserta beberapa orang sukarelawan perubatan menggunakan penerbangan ihsan Kerajaan. Terdapat cadangan daripada MRA dan IMARET untuk bergerak bersama-sama Mercy Malaysia sebagai satu pasukan perubatan Malaysia. NADMA mencadangkan perbincangan lanjut di buat oleh pihak Mercy, MRA, IMARET dan dipohon mengemukakan segera senarai peralatan dan sukarelawan tersebut untuk pertimbangan NADMA.
8. Pihak Volunter Malaysia memaklumkan terdapat stok khemah dan sleeping bag yang boleh dihantar jika bersesuaian. NADMA mohon senarai barangan berserta kuantiti dikemukakan segera kepada NADMA.
9. NADMA menasihatkan NGO-NGO Malaysia agar menjaga nama baik negara sepanjang melaksanakan misi kemanusiaan di Sulawesi Tengah atau mana-mana kawasan bencana di luar negara.




