Mutakhir ini, kita sering mendengar berita mengenai pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kita dikejutkan dengan banjir yang menimpa negeri Pualu Pinang dan beberapa negeri lain. Mulai dari hujan lebat dan angin kuat, ia kemudiannya menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh hingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda.

Jika dilihat dalam konteks ilmu sains, bencana alam sebegini adalah suatu fenomena alam yang terjadi akibat ketidakseimbangan ekosistem yang ada di bumi ini sama ada disebabkan oleh perubahan alam secara semulajadi atau pun disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri. Akibatnya, bencana yang semakin besar terjadi sehingga menjejaskan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebaliknya, jika dilihat dalam konteks keimanan, bencana tersebut merupakan suatu peringatan daripada Allah SWT. Justeru, kita meyakini bahawa musibah ini adalah suatu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajib kita imani dan bertawakal kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah dalam surat At-Taubah ayat 51,

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.”

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat dihalang oleh manusia. Tamsilnya, peristiwa tsunami yang melanda Acheh (2004), Jepun (2011) dan Sulawesi (2018) telah menggemparkan seluruh dunia. Kita bersyukur, sekalipun kita tidak mengalami bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya tetapi kita juga tidak terlepas daripada ditimpa bencana besar seperti tragedi runtuhan Highland Towers (1993), banjir lumpur Pos Dipang (1996), banjir besar pada 2014; dan gempa bumi gunung Kinabalu (2015).

Dalam bencana ini, kita bukan sahaja mengalami kerosakan dan kerugian harta benda malah turut kehilangan nyawa yang cukup berharga kepada negara. Lebih memilukan, masih ada di kalangan mangsa tragedi berkenaan mengalami trauma dari peristiwa tersebut. Sebagai masyarakat yang punya nilai sifat kemanusiaan, kita turut bersimpati dan perlu sedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Persoalannya, apakah bentuk bantuan yang dapat kita hulurkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana ini? Ya, dengan rentetan dan siri bencana yang tidak disangka, pihak kerajaan khususnya dan masyarakat umumnya perlu bertindak menerusi penggemblengan sumber yang ekstensif.

Menyoroti hikmah di sebalik bencana yang menimpa, terdapat sekurang-kurangnya tiga pengajaran penting yang boleh kita ambil sebagai pedoman. Yang pertama, bencana yang berlaku adalah salah satu ujian daripada Allah SWT bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Melalui bencana, kita menyedari kelemahan diri kita dan mengakui kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2-3,

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.”

Yang kedua, bencana adalah untuk menguji kesabaran manusia. Kesusahan dan kepayahan menghadapi bencana mampu melatih kesabaran kita untuk memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan banyak lagi perintah dan larangan Allah SWT. Sesungguhnya, pahala kesabaran adalah bekalan yang dapat menambahkan nikmat untuk kita di syurga kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155-156,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.

“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali

Dan yang ketiga, bencana menjadi medan ujian kasih sayang kita kepada saudara kita yang ditimpa penderitaan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin, Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) saudaranya sesama muslim, Allah menutupi (aib) nya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.”

Apa yang jelas, kasih sayang (al-mua’akhah bi al-mawaddah) harus disuburkan secara tulus dan suci kerana ia adalah sebahagian daripada ‘integriti moral’ yang menjadi petunjuk kemuliaan manusia.

Walaupun situasi bencana memberi kesan buruk kepada mangsa, sisi positifnya ia menyerlahkan kebersamaan semua pihak yang bersolidariti menghulurkan tangan membantu tanpa prejudis. Inilah masa terbaik untuk kita bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Kepada saudara-saudaraku yang ditimpa bencana, usahlah kita bertindak seperti hilang pedoman beragama. Jauhi diri kita daripada mencela nasib, memaki hamun pada hujan dan banjir seolah-olah mempertikai perkara yang telah ditetapkan kepada kita di atas kekuasaan Allah SWT. Sebagai seorang muslim beriman dan percaya pada Qada’ dan Qadar, yakinlah bahawa setiap perkara yang terjadi sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi, bukti kebesaran Allah.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin merakamkan rasa dukacita terhadap kejadian terkini di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di utara semenanjung. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT memberi ketabahan dan mempermudahkan segala urusan saudara kita serta memberkati setiap usaha yang dijalankan. Pengajaran khutbah kita pada hari ini ialah:

Pertama: Bencana adalah ujian untuk meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kedua: Musibah boleh merintis jalan muhasabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan terhadap ancaman bencana.

Ketiga: Nilai kasih sayang wajar disuburkan sepanjang masa dan zaman bagi membina masyarakat penyayang dan berakhlak mulia.

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid: 22)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/mediaisl/public_html/squad99.org/my/wp-includes/functions.php on line 5581