Lebih kurang jam 12.15 tengahari semalam, sebaik sahaja saya tiba di Wisma Darul Iman, saya menerima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali.
Pemanggil: Assalamu alaikum
Saya: Wa alaikumussalam. siapa ni?
Pemanggil: Ini Haji Amrun ke, dari Squad 99?
Saya: Ya, saya.
Pemanggil: Tuan Haji, saya mendapat nombor telefon Tuan melalui internet. Saya memiliki sebuah radio jenama ICOM 2200. Saya bercadang nak beri radio tersebut kepada Tuan. Tuan nak ke?
Saya: Apa? Nak beri?
Pemanggil: Ya! Saya beli radio tu sebab ingat nak belajar gunakan radio tersebut tetapi selepas saya menduduki peperiksaan dan gagal, saya rasa saya dah tak larat nak teruskan lagi sebab saya dah tua.
Saya: Siapa nama Encik?
Pemanggil: Nama saya Zainal.
Saya: Encik Zainal dari mana?
Pemanggil: Saya dari Langkawi.
Saya: Encik Zainal, Apa kata Encik Zainal kalau saya cadangkan encik simpan dulu radio tersebut dan emcik ambil peperiksaan sekali lagi. Kalau encik nak, encik boleh beli buku dari kami dan kami akan ajar encik secara atas talian. Untuk pengetahuan encik, Squad 99 menerbitkan buku “Panduan Asas Pengendalian Radio Amatur di Malaysia”. Kami menjual buku tersebut dengan harga RM20.00 dan duit tersebut adalah untuk tabung persatuan. Kalau encik beli buku kami, kami akan masukkan encik dalam kelas atas talian yang kami adakan. Setakat ini, ada yang beli buku kami termasuk dari Sabah dan Sarawak. Insya Allah lebih dari 90% lulus peperiksaan radio amatur.

Pemanggil: Tuan Haji, bolehkah kita berjumpa sebab sekarang ini saya berada di Bukit Besar.
Saya: Sekarang tak boleh sebab saya masih ada urusan tapi kalau malam boleh?
Pemanggil: Kalau begitu kita jumpa malam ni boleh?
Saya: Insya Allah boleh. Nanti lepas Isya’ saya akan telefon Encik Zainal.
Seperti yang dijanjikan selepas Isya’ saya telefon Encik Zainal dan kami berjumpa di kedai Char Kuey Teow Bukit Besar.
Encik Zainal seorang yang peramah dan banyak perkara yang kami bincangkan. Banyak pengalamannya yang dikongsikan kepada kami.
Encik Zainal bertongkat dan apabila saya tanya beliau berkata beliau pernah lumpuh kerana kecederaan yang beliau alami semasa bermain rugbi masa muda dulu. Sekarang kesihatannya semakin pulih.
Sebelum berpisah, Encik Zainal menyerahkan kepada saya radio miliknya.
Saya menghadiahkan sebuah buku kepada beliau dan berkata saya akan pegang dulu radio Encik Zainal dan saya nak Encik Zainal ambil semula peperiksaan radio amatur dan kalau lulus nanti, kalau Encik Zainal hendak radio ni kembali saya akan serahkan kembali.
Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya bagaimana Encik Zainal dapatkan nombor telefon saya dan kenapa beliau berikan radionya kepada saya.
Wallahu aklam
