Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan rakan pengamal radio amatur. Oktober lepas SKMM telah memanggil kelab kelab radio amatur untuk memberitahu tentang penurunan peratusan calun yg mengambil RAE.
Maklumat ini telah membawa kepada perbincangan mengenai minat dan hala tuju radio amatur di Malaysia. Ini telah membawa kepada cadangan untuk mengadakan suatu sessi perbincangan atau simposium antara kelab kelab mengenai permasalahan ini.
Untuk ini SKMM telah mengusul agar diadakan suatu jawatankuasa penganjuran simposium di mana ahli-ahlinya dilantik dari wakil kelab melalui undi cadangan dan sokongan dari kelab-kelab yang hadir.
Watikah perlantikan telah dikeluarkan oleh SKMM dan MARES telah diundi untuk diberi tanggungjawab mempengerusikan jawatankuasa simposium ini.
Walaupun ini suatu tugas berat namun MARES akan menerajui jawatankuasa ini untuk merealisasikan simposium yang dicadangkan.
Secara peribadi, saya melihat usaha ini sebagai suatu peluang untuk kita sama-sama menentukan hala tuju radio amatur Malaysia. Kita perlu berganding bahu dan tenaga untuk memastikan lapangan ini tidak hanya kekal sebagai hobi sampingan peribadi tetapi ianya relavan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
Pergerakan Radio Amatur Malaysia buat masa kini sudah kurang menarik minat generasi masa sekarang. Minat kepada hobi ini lebih cenderung kepada untuk berbucara secara percuma, untuk kemudahan berkonvoi di acara permotoran, kemudahan untuk penganjuran event. Pengamal cenderung kepada aktiviti secara kumpulan kecil tahu komuniti dan tidak lagi mengambil bahagian di dalam kelab-kelab.
Tatacara betul yang dipraktikkan semasa bercakap semakin kurang. Jarang sekali kita mendengar suara 9M2 alphabet di pengulang atau di simplex 2meter seperti dahulu. Malah, di pengulangpun sekarang tidak meriah seperti dahulu. Maklumat betul mengenai industri ini serta sejarahnya juga semakin dilupakan.
Lebih berani ada yang mengeksploit untuk tujuan komersil, mengguna callsign secara haram dan sebagainya.
Teknologi komunikasi serta aplikasi menerusi jalurlebar, internet dan digital sedikit demi sedikit menolak radio amatur ke belakang.
Tiba masanya untuk kita semua mengambil masa memikirkan ke manakah kita mahu membawa industri radio amatur Malaysia.. Adakah hanya sebagai hobi sampingan? Adakah untuk dikuburkan?
Tiada pihak lain di dalam atau luar Malaysia yang akan peduli nasib kita melainkan kita sendiri. Kita perlu fikirkan strategi dan pelan untuk mengangkatkan industri ini agar relevan dan berdaya saing di masa hadapan.
