Kelab Radio Amatur Komunikasi Bencana Terengganu – Squad 99 jadi pasukan menyelamat mangsa banjir secara langsung bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu (MKN) memandangkan pasukan itu amat membantu dalam menghadapi musim banjir tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latif Awang berkata, tahun lalu, pasukan, pasukan ini hanya melibatkan diri secara sukarela dalam misi menyelamat mangsa banjir.

“Saya memperkenalkan kelab ini kepada MKN. Jadi, pada tahun ini kita akan libatkan Squad 99 secara langsung dalam misi menyelamat mangsa banjir.

“Selain membantu dalam memberikan maklumat, mereka turut bersama MKN dalam menyelamat mangsa banjir,” katanya.

Kata A. Latif, ketika banjir besar melanda Kemaman tahun lalu, pasukan itu membantu dalam menghubungkan kawasan yang terputus hubungan.

“Ketika itu, semua talian terputus baik Celcom, Telekom malah walkie talkie pasukan polis pun tak dapat  guna untuk berhubung,” katanya.

Katanya lagi, baru-baru ini pasukan ini juga turut menyertai misi mencari remaja hilang di Hutan Lipur Sekayu.

Kelab Radio Amatur telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1952 melalui Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS), namun sehingga kini hanya 10,000 pengendali radio amatur berjaya memiliki lesen.

Berbeza dengan komunikasi radio dua hala komersial, radio amatur memerlukan pengendali memiliki lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir tahun ini, A. Latif berkata, beliau turut terlibat sebagai jawatankuasa banjir di peringkat daerah.

“Setakat ini kita telah bersedia dalam menghadapi banjir terutama di lokasi yang dikenal pasti sering dinaiki air.

“Bekalan makanan dah diagihkan ke pusat pemindahan yang dikenal pasti,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga mempunyai 50 orang flying squad dengan menyewa tiga buah bot penduduk kampung untuk misi menyelamat mangsa banjir. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: ob_end_flush(): Failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/mediaisl/public_html/squad99.org/my/wp-includes/functions.php on line 5581