Pada 11 Julai 2026, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menganjurkan satu program penting dalam usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana di Dewan Ar Riyadah Residence, Kuala Nerus, Terengganu.
Program yang dikenali sebagai Bengkel Rintis Kesedaran Penggunaan Radio Amatur Sebagai Komunikasi Sokongan Semasa Bencana menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan pengurusan bencana serta komuniti radio amatur dari Pantai Timur bagi meningkatkan kefahaman mengenai peranan komunikasi alternatif ketika berlakunya kecemasan.
Bengkel ini merupakan satu inisiatif yang amat signifikan kerana pengalaman mengendalikan bencana di Malaysia menunjukkan bahawa rangkaian komunikasi konvensional seperti telefon bimbit dan internet boleh terganggu atau lumpuh akibat banjir besar, ribut, tanah runtuh dan bencana lain.
Dalam keadaan sedemikian, radio amatur terbukti mampu berfungsi sebagai sistem komunikasi sokongan yang berkesan bagi memastikan penyampaian maklumat kritikal terus berjalan.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Tuan Mohd Fairus bin Mohamad, Ketua Pegawai Hal Negeri / Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa komunikasi merupakan antara komponen terpenting dalam pengurusan bencana.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti radio amatur perlu diperkukuhkan agar negara mempunyai sistem komunikasi sokongan yang lebih mantap, berdaya tahan dan mampu diaktifkan dengan pantas apabila diperlukan.
Slot pertama bertajuk “Inisiatif Rakan NADMA (Radio Group)” telah disampaikan oleh Tuan Abdul Aziz bin Mahamad Zabidin daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau menerangkan usaha NADMA dalam membangunkan rangkaian sukarelawan radio amatur sebagai rakan strategik bagi menyokong operasi pengurusan bencana.
Beliau turut menjelaskan bahawa penglibatan komuniti radio amatur bukan sekadar menyediakan peralatan komunikasi, malah merangkumi latihan, koordinasi lapangan dan penyampaian maklumat yang tepat kepada pusat operasi.
Slot kedua disampaikan oleh Dr. Wan Syukri bin Wan Mohd Ali daripada Malaysian Aviation Radio Emergency Services (MARES) dengan tajuk “Pengenalan dan Peranan Radio Amatur Dalam Pengurusan Bencana”.
Beliau menghuraikan sejarah, konsep serta keupayaan radio amatur sebagai medium komunikasi kecemasan yang telah terbukti digunakan di pelbagai negara ketika menghadapi bencana alam.
Beliau juga menjelaskan bahawa radio amatur mempunyai kelebihan kerana mampu beroperasi secara bebas menggunakan pelbagai kaedah komunikasi, sama ada melalui frekuensi VHF, HF mahupun rangkaian repeater, bergantung kepada situasi dan keperluan operasi.
Kemuncak bengkel ialah Slot Ketiga, iaitu “Simulasi serta Demonstrasi Komunikasi dan Taktikal Ketika Bencana”, yang dikendalikan oleh Tuan Haji Amrun bin Mamat, Pengerusi Amateur Radio Disaster Communication Club – Squad 99.
Sesi ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan stesen (station-based learning) melalui demonstrasi secara langsung di beberapa booth.
Para peserta berpeluang melihat sendiri bagaimana komunikasi radio amatur dilaksanakan dalam situasi kecemasan, termasuk teknik penyampaian mesej, pengendalian stesen komunikasi lapangan, penggunaan peralatan radio mudah alih serta kaedah koordinasi antara pusat kawalan dan pasukan di lokasi bencana.
Pendekatan simulasi ini memberikan pengalaman praktikal kepada peserta kerana mereka bukan sahaja mendengar penerangan secara teori, malah dapat menyaksikan sendiri bagaimana komunikasi kecemasan dijalankan mengikut prosedur operasi yang sistematik.
Pengalaman sedemikian amat penting bagi meningkatkan tahap keyakinan dan kesiapsiagaan komuniti radio amatur sekiranya berlaku bencana sebenar.
Turut memeriahkan program ialah kehadiran beberapa pegawai kanan SKMM, antaranya Tuan Haji Abd Mubin bin Mohd Zain, Pengarah SKMM Negeri Terengganu; TS Ahmad Faishal Hadi bin Che A Latif, Ketua Jabatan Perancangan dan Penyelarasan SKMM Negeri Terengganu; serta Tuan Muhammad Jaflus Baharudin, Pengarah SKMM Negeri Kelantan.
Kehadiran mereka menggambarkan komitmen SKMM dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama bersama komuniti radio amatur sebagai salah satu komponen penting dalam ekosistem komunikasi kecemasan negara.
Bengkel ini turut disertai oleh wakil-wakil persatuan radio amatur dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Penyertaan rentas negeri ini membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pertukaran idea serta pembinaan jaringan kerjasama yang lebih kukuh antara komuniti radio amatur Pantai Timur.
Hubungan yang terjalin melalui latihan seperti ini akan memudahkan penyelarasan operasi sekiranya berlaku bencana yang melibatkan lebih daripada sebuah negeri.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya meningkatkan kesedaran bahawa radio amatur bukan sekadar hobi atau aktiviti rekreasi, malah merupakan aset strategik negara dalam menyokong sistem komunikasi ketika berlaku kecemasan dan bencana.
Pengalaman Malaysia menghadapi banjir besar serta pelbagai insiden kecemasan sebelum ini membuktikan bahawa rangkaian radio amatur mampu menjadi pelengkap kepada sistem komunikasi rasmi apabila infrastruktur komunikasi moden menghadapi gangguan.
Program seumpama ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada latihan yang lebih menyeluruh serta kerjasama yang lebih erat antara SKMM, NADMA, agensi keselamatan, badan bukan kerajaan dan komuniti radio amatur.
Dengan latihan yang berterusan, penyelarasan yang baik serta komitmen semua pihak, Malaysia akan mempunyai jaringan komunikasi sokongan yang lebih berdaya tahan, sekali gus meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi sebarang bencana pada masa hadapan.
