Agama Islam mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa mengetepikan kesejahteraan duniawi.
Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang dititikberatkan bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas.
Umat Islam tanpa mengira usia, wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan, seterusnya dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan khusyuk.
Terdapat banyak hadis menyebutkan mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda dan berenang.
Oleh yang demikian, memanah merupakan sukan yang digemari oleh Baginda Rasulullah SAW, baik sebagai aktiviti riadah atau bersukan dan yang lebih penting lagi memanah adalah antara senjata setiap kali Baginda dan para sahabat keluar berperang demi menegakkan agama Islam.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bazzar dan Thabarani.
“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”
Apabila kita mengimbas kembali pada zaman Rasulullah SAW, perjuangan Baginda bersama para pengikutnya, di mana pada waktu itu, panah adalah salah satu senjata yang paling ampuh digunakan oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda ketika berperang.
Nama-nama Abdullah bin Zubair, yang pernah memimpin pasukan pemanah semasa Perang Uhud dan juga Saad bin Abi Waqqash, seorang panglima perang yang hebat menggunakan panah, cukup dikenali sebagai pejuang bersama Baginda.
Malah, Rasulullah sendiri mempunyai busur-busur panah yang digunakan oleh Baginda ketika berperang.
Dari Uqbah bin Amir Radhiallahu anhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda di atas mimbar:
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Memanah bukanlah sukan biasa semata-mata, sebaliknya ia menjadi antara sunnah Rasullullah SAW yang dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya, selain berenang dan menunggang kuda.
Hakikatnya, sukan memanah bukan sahaja mampu melatih fizikal seseorang, bahkan ia juga dapat mendidik emosi diri seseorang itu untuk menjadi insan yang lebih ber-sabar dan tenang serta sentiasa fokus dalam segala hal.
Lebih penting lagi, memanah juga menjadi antara aktiviti riadah atau sukan yang boleh memperkasakan ummah dan negara.
Tidak hairanlah Sayyidina Umar bin Al-Khattab sendiri menyuruh umat Islam supaya menerapkan sukan memanah sebagai antara pendidikan kepada generasi muda seperti katanya, “Ajarlah anak-anak kamu dengan memanah, menunggang kuda dan berenang.”
Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud.
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.”
Oleh Nurdiyanah R.
